5 November 2014

Air Mineral Dicetak Gambar Patung Dewa Hindu Ditarik Balik

-- --


Syarikat pengeluar air mineral, Spritzer Berhad bertindak pantas menarik balik semua minuman keluarannya yang dicetak logo halal bersama-sama gambar sebuah patung dewa Hindu di Batu Caves daripada pasaran berkuatkuasa serta-merta pada Selasa.

Tindakan segera itu diambil ekoran pendedahan yang dibuat oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan hari ini bahawa produk syarikat itu menimbulkan keraguan serta ketidakselesaan di kalangan masyarakat Islam.

Pengurus Perhubungan Awam Spritzer, Winnie Chin berkata semua wakil jualan syarikatnya telah diarah menarik balik produk tersebut dari rak-rak jualan di setiap premis seluruh negara.

Selain menarik balik produk minuman berkenaan dari pasaran, Spritzer juga akan menghentikan proses mencetak label terbabit, serta memastikan produk yang sedia untuk dipasarkan tidak dikeluarkan dari gudang simpanannya.

“Syarikat kami bukan tidak sensitif terhadap isu berkaitan agama tetapi tidak menyangka tempat tumpuan pelancongan akan dikaitkan dengan isu keagamaan.

“Kami juga tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, Selasa. Syarikat itu bagaimanapun tidak akan memohon maaf secara terbuka buat masa ini.

Chin turut menjelaskan bahawa gambar dewa Hindu itu digunakan kerana Spritzer menjalin kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Malaysia untuk mempromosikan kawasan-kawasan tarikan pelancongan tempatan.

“Kami memohon permit daripada Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia dan mendapat kebenaran daripada mereka untuk mencetak imej tempat-tempat tumpuan pelancong pada botol minuman kami termasuklah (gambar) Persiaran Gurney di Pulau Pinang, Dataran Helang di Pulau Langkawi, Zoo Taiping, Menara Berkembar Kuala Lumpur dan Putrajaya,” jelas Chin.

Menurut Chin lagi, pihaknya hanya menyedari perkara itu pagi tadi dan tidak mendapat sebarang makluman daripada PPIM sebelum ia dihebahkan kepada media.  Spritzer dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai isu tersebut pada Rabu.
Nadzim dalam satu sidang media pagi tadi menyuarakan rasa tidak puas hati kerana logo itu seolah-olah menunjukan elemen pemujaan dalam minuman terbabit.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana logo halal tulen yang disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh digunakan bersama gambar patung dewa berkenaan.