6 January 2017

Kanak-kanak menangis kelaparan ditemui ditinggalkan ibu keseorangan

-- --


Tampin: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui ditinggalkan sendirian di rumah di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan di sini, selepas ibunya pulang ke kampung.

Difahamkan, penduduk mendengar tangisan kanak-kanak terbabit dari dalam rumah gelap lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut, 12.45 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, bertindak atas laporan itu sepasukan anggota ke lokasi dan menemui kanak-kanak terbabit menangis kalaparan dan dalam keadaan berbogel dikurung dalam rumah.

Menurutnya, anggota polis memberikan makanan dan minuman kepada kanak-kanak itu sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut dilakukan kemudian menahan ibu mangsa. Wanita berusia 29 tahun itu mengaku meninggalkan anaknya kerana pulang ke kampung bersama dua anak lelakinya, 6 petang semalam.

"Wanita terbabit mendakwa suaminya tidak mengetahui budak itu adalah anaknya kerana diberitahu dia anak orang lain yang dijaga wanita terbabit.

"Keluarga dan jiran pula tidak mengetahui kewujudan anaknya itu kerana dilahirkan luar nikah dengan lelaki lain sebelum dia berkahwin dengan suaminya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.